Panduan Ajar Anak Berenang

Masukkan Emel Anda Untuk Menerima Artikel Terkini Dari Blog AyahMama.com

Isikan Emel Anda:

Delivered by FeedBurner




berenang

Sifat kanak-kanak secara semula jadinya sangat suka bermain air. Sebut saja kolam renang, pantai, air terjun, sungai atau jeram antara kawasan yang menjadi kegemaran mereka.

Masalahnya kanak-kanak tidak mengetahui air adalah berbahaya sekiranya mereka tidak tahu menghadapi situasi cemas sekiranya berlaku. Banyak kejadian yang tidak diingini seperti lemas berlaku di luar kawalan ibu bapa dan perkara ini dapat dielakkan sekiranya kanak-kanak diberi pendedahan awal mengenai keselamatan dalam air.

Kajian menunjukkan banyak faedah diperoleh daripada aktiviti berenang iaitu mampu meningkatkan perkembangan mental, fizikal, sosial dan emosi kanak-kanak. Malah, satu kajian dikendalikan Profesor Liselott Diem dari 1974 hingga 1976 di Kolej Sukan Jerman mendapati kanak-kanak yang berenang pada usia awal menunjukkan perkembangan lanjutan dari segi kemahiran motor kasar dan halus, tindak balas, tumpuan, kepintaran dan kecerdasan, tabiat sosial, keyakinan diri, kebebasan, serta mampu menangani situasi di luar jangkaan.

Menurut jurulatih renang, Azlinawati Husain, 31, yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam sukan renang serta menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa dalam acara triatlon, swimaton serta larian separuh maraton mengakui, renang memberikan banyak kebaikan kepada kanak-kanak.

Ini dapat dilihat menerusi peningkatan keyakinan diri serta berdikari yang cukup tinggi pada kanak-kanak apabila mereka didedahkan dengan sukan renang pada usia muda. Di samping itu, mereka juga menunjukkan interaksi positif dan ikatan kukuh dengan ibu bapa.

Walaupun pelbagai pendapat diberikan mengenai usia sesuai belajar berenang, seawal usia empat atau lima tahun, kanak-kanak perlu didedahkan mengenai keselamatan dalam air serta mengikuti kelas berenang secara formal yang akan memberikan kebaikan bukan saja pada fizikal tetapi kesihatan serta emosi mereka.

“Ini bagi membolehkan mereka tidak takut air serta menghadapi saat cemas sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. Misalnya terjatuh ketika mandi sungai atau lemas di laut atau kolam renang,” katanya.

Dari aspek keselamatan, semua orang sama ada dewasa mahupun kanak-kanak perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam sukan renang. Ini kerana kemahiran ini dapat menyelamatkan nyawa sendiri serta orang lain ketika berdepan situasi cemas.

“Sering kali didedahkan di akhbar kemalangan akibat lemas. Ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya kanak-kanak mempunyai kemahiran berenang manakala ibu bapa tidak bersikap sambil lewa dengan membiarkan anak-anak berada di tempat berbahaya,” katanya.

Azlinawati yang berpengalaman menjadi jurulatih renang sejak lima tahun lalu mengakui, mengajar renang untuk dewasa dan kanak-kanak memerlukan dua pendekatan berbeza.

“Bagi kanak-kanak di bawah usia empat tahun, teknik pengajaran lebih kepada pendedahan awal untuk keyakinan diri. Ini dilakukan dengan membuat pergerakan kecil seperti kayuhan kaki atau tangan, membuat buih kecil dalam air dan siraman air. Sementara itu kedudukan kepala biasanya berada di atas,” katanya.

Bagi memberi pendedahan kepada anak-anak, ibu bapa harus mengawasi mereka dengan membawa ke tempat yang cetek terlebih dulu. Kemudian biarkan mereka bermain dengan percikan air sebelum beredar ke tempat yang dalam.

“Bagi kanak-kanak yang agresif dan berani serta mahu pergi ke tempat yang dalam, ibu bapa harus menemani mereka atau pakaikan pelampung bagi mengelak sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.

Sebelum berenang terdapat beberapa peraturan yang harus diikuti antaranya memakai pakaian renang serta topi renang sesuai. Pakaian diperbuat daripada fabrik yang sesuai memberi keselesaan kepada perenang serta kebersihan dalam kolam renang manakala topi bagi memastikan rambut tidak terkena air klorin.

Topi renang juga boleh mengelak rambut menutupi mata terutama bagi mereka yang berambut panjang seterusnya mewujudkan keadaan panik ketika berenang.

“Hal ini sangat penting kerana keadaan panik akan menyebabkan mereka tidak mampu berenang dengan sempurna, seterusnya mewujudkan suasana cemas di dalam air,” katanya.

Bagi mewujudkan rasa seronok, anak-anak seharusnya berasa selesa ketika berenang. Ibu bapa atau jurulatih sepatutnya tidak boleh memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan kerana ini boleh membuatkan mereka putus asa dan tidak mahu meneruskannya.

“Dalam hal ini, jurulatih harus bijak menguasai situasi. Teknik serta kaedah yang betul akan membuatkan anak-anak bersemangat dan akan meneruskan sesi pembelajaran sehingga mereka benar-benar mahir berenang,” jelasnya.

Ramai ibu bapa tidak tahu berenang adalah sukan terbaik untuk kecergasan fizikal. Ini diakui apabila kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti dapat dikurangkan berat badan dengan berenang. Ini kerana renang membabitkan pergerakan seluruh badan serta aktiviti sukan yang tidak mendatangkan kecederaan kerana ia senaman bersifat risiko rendah disebabkan tiada daya tekanan yang kuat pada sendi, tulang dan juga otot badan.

“Ketika berenang, kedua-dua kaki dan tangan digerakkan sekali gus membakar sejumlah besar kalori dalam badan. Bagi kanak-kanak obes, berenang sangat memberi manfaat kepada mereka. Ketika berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi di antara dua kaki, dua tangan, selain merangsang stamina, menguatkan otot jantung (sistem kardiovaskular) serta meningkatkan penghantaran oksigen dalam badan.

“Rasa tekanan juga dapat dikurangkan dengan latihan renang,” jelasnya yang mengakui renang sering digunakan dalam senaman terapi pemulihan selepas mengalami kecederaan atau hilang upaya.

Di samping dapat meningkatkan daya kekuatan, ketahanan dan daya kelenturan badan, renang juga dapat membentuk tubuh badan supaya cantik dan menarik.

Selain menjadi tenaga pengajar sambilan, Azlinawati juga bekerja sepenuh masa dan hanya menjalankan latihan renang pada Sabtu dan Ahad untuk kanak-kanak dan dewasa. Setakat ini, dia mempunyai seramai 60 peserta kanak-kanak dengan peserta termuda berusia tiga tahun enam bulan termasuk menjadi jurulatih untuk program kelab renang Sekolah Antarabangsa Kingsley.

Bagi mereka yang ingin belajar berenang sama ada dewasa mahupun kanak-kanak, kelas diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula pada jam 8.15 pagi hingga 11 pagi bersambung ke 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang dan 4 petang hingga 6 petang. Bagi kelas perseorangan atau berkumpulan, ia diadakan setiap hari pada jam 5.45 petang dan 8.15 malam. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang jomrenang.com.

Bagi Rosida Hussin, 35, kegemaran membawa anak-anak ke pantai serta mandi kolam renang ketika cuti sekolah menyebabkan dia membawa ketiga-tiga anaknya, Muhammad Faez Azren Muhammad Shaufi, 12, Nur Aireen Sofea, 9, dan Muhammad Aliff Azim, 7, mengikuti kelas renang. Pada mulanya memang mereka agak gementar tetapi lama kelamaan setelah mendapat pendedahan mengenai teknik yang betul, keyakinan diri mulai meningkat.

“Hampir setahun menyertai kelas renang, mereka semakin mahir dan menguasai teknik berenang. Bukan itu saja, keyakinan diri semakin bertambah. Mereka semakin kurang sifat malu serta mudah bergaul dengan rakan dan orang yang lebih tua. Setiap Sabtu dan Ahad mereka sendiri bangun pagi dan menyediakan keperluan ke kelas renang dan ini menambah sifat berdisiplin dalam diri mereka,” katanya.

Menyedari banyak kebaikan daripada sukan renang, sebagai ibu Rosida akan meneruskan sesi pembelajaran sehingga ketiga-tiga anaknya mahir dan menguasai beberapa teknik renang. Dia juga memberi kebebasan kepada anak-anaknya sekiranya mereka mahu menyertai pertandingan renang di peringkat sekolah pada masa hadapan.

Bagi Noor Suryanti Ibrahim, 39, dia bersama suami dan tiga anaknya, Hanis Shakira Mohd Bashir, 13, Muhammad Danial Hakim, 10, dan Hanis Sabrina,7, menyertai kelas renang sejak dua tahun lalu. Ini kerana dalam keluarga tiada seorang pun yang pandai berenang.

“Memandangkan kami sekeluarga gemar bercuti dan mandi laut, saya dan suami terfikir untuk mengambil kelas renang sekeluarga. Dalam masa 12 minggu memang sudah nampak perubahan dan masing-masing sudah dapat mempelajari asas penting ketika berenang,” katanya.

Kini ketika-tiga anaknya dihantar untuk mendalami teknik berenang di bawah bimbingan Azlinawati. Banyak kebaikan diperoleh daripada sukan ini terutama daripada sudut kesihatan.

“Dulu anak lelaki saya mempunyai asma yang agak teruk tetapi kini sejak menjalani latihan renang setiap minggu, asma semakin berkurangan dan dia lebih sihat dan cergas. Keyakinan diri semakin bertambah disebabkan pergaulan dengan rakan-rakan. Lebih penting berenang menyebabkan mereka dapat tidur nyenyak dan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran,” katanya.

Panduan belajar berenang:

  • Pastikan ibu bapa mengawasi anak-anak ketika di kolam renang. Mulakan di tempat yang cetek dulu sebelum ke tempat dalam.
  • Untuk melihat sama ada anak-anak berani atau tidak, percikkan air ke muka mereka dan perlahan-lahan ajar mereka membuat buih. Buat satu persatu, mula-mula dengan melakukan buih di permukaan air kemudian secara perlahan-lahan suruh mereka letakkan muka sambil membuat buih di dalam air. Sekiranya mereka boleh boleh melakukannya bermakna mereka berpotensi untuk belajar berenang dengan cepat.
  • Selain topi renang, cermin mata juga penting kerana selain boleh mengelak air masuk ke mata, ia boleh memberi keyakinan kepada seseorang untuk melihat suasana dalam air terutama daripada segi kedalaman air kolam.
  • Bagi anak-anak yang minat berenang, seeloknya hantar mereka ke kelas renang kerana kanak-kanak mudah belajar secara praktikal dan mengikut apa yang diajar.
  • Sokongan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak bersemangat belajar berenang. Jangan cepat putus asa sekiranya anak-anak lambat belajar sebaliknya memberikan galakan kepada mereka.

Sumber: Harian Metro

Sumber gambar: flickr






Speak Your Mind

*

     

You might also likeclose